Uqasha pernah dua kali keguguran

Uqasha pernah dua kali keguguran

PELAKON, Uqasha Senrose mendedahkan belum ada rezeki buatnya dan suami untuk menimang cahaya mata selepas mengalami keguguran dua kali.

Pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 30, yang mendirikan rumah tangga bersama aktor Kamal Adli selama tiga tahun memberitahu mengalami keguguran pertama kali ketika dia menunaikan umrah pada awal 2022.

Menurut kakak kepada aktres Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose itu, keguguran kedua pula berlaku sekitar November tahun sama.

“Ketika saya menunaikan umrah awal tahun lalu, saya sedang datang bulan yang sudah berlanjutan selama sebulan. Darah keluar dengan sangat banyak tetapi saya diamkan sahaja.

“Saya tidak buat sebarang pemeriksaan doktor pun. Kemudian sekitar November, saya datang bulan lagi untuk tempoh yang panjang. Saya juga alami sakit pinggang teruk.

“Saya pelik sebab tak pernah senggugut yang sakit sangat. Bila pergi periksa doktor, saya disahkan hamil dua bulan tetapi kandungan itu sudah tidak ada,” katanya.

Uqasha berkata, berikutan itu dia terpaksa menjalani pembedahan kecil bagi mengeluarkan darah beku selepas dinasihat doktor kerana dikhuatiri memberi kesan kepada kehamilan seterusnya.

“Dua kali hamil, memang kedua-duanya saya dan suami tidak tahu, malah saya dapat lagi buat pelbagai aktiviti.

“Untuk kehamilan yang pertama, saya pun tak tahu usia kandungan, cuma yang kali kedua ni saya sempat hamil dua bulan,” jelasnya lagi.

Mengenai perancangan untuk hamil lagi, pelakon siri Perempuan Tanpa Dosa itu memaklumkan dia dan suami perlu merancang memandangkan jadual penggambaran yang padat sehingga bulan Ogos ini.

“Siapa tak mahu cahaya mata sendiri tetapi saya terpaksa tangguh dulu perancangan itu kerana tuntutan kerja. Tetapi, dalam pada masa yang sama saya lega bila tahu boleh mengandung.

“Saya dan Kamal reda. Belum rezeki kami lagi,” katanya.

Uqasha dan Kamal diijabkabulkan sebagai suami isteri di sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang pada 5 November 2021. – Malaysiapost

Komen