45,489 mangsa banjir 3 negeri
SERAMAI 45,489 mangsa banjir direkod berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri, pagi ini.
Johor masih merekodkan angka tertinggi dengan 44,937 mangsa membabitkan 12,730 keluarga direkodkan berlindung di 172 PPS di lima daerah sehingga jam 8 pagi ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu sedikit meningkat berbanding 43,667 mangsa membabitkan 12,385 keluarga pada jam 8 malam ini.
Beliau berkata, daripada lima daerah yang masih terjejas dengan banjir itu, hanya Batu Pahat menunjukkan sedikit peningkatan dengan 39,737 mangsa membabitkan 12,730 keluarga yang ditempatkan di 114 PPS di daerah itu.
“Di Muar pula, jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,785 orang dan 846 keluarga di 19 PPS, manakala Tangkak berkurangan menjadi 1,924 mangsa daripada 642 keluarga di 17 PPS.
“Jumlah mangsa banjir di Mersing pula berkurang dengan 47 orang daripada 14 keluarga ditempatkan di tiga PPS,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, hanya Segamat kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir dari malam tadi iaitu seramai 706 mangsa membabitkan 169 keluarga di 19 PPS.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) tiada mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan di semua daerah di Johor. – Malaysiapost