Anwar nasihat Muhyiddin tumpu kes mahkamah, bukan tohmah kerajaan

Anwar nasihat Muhyiddin tumpu kes mahkamah, bukan tohmah kerajaan

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya memberi tumpuan terhadap kes mahkamah yang dihadapinya daripada melemparkan tohmahan terhadap kepimpinan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan Muhyiddin bahawa pertuduhan terhadapnya merupakan satu bentuk ‘pemangsaan politik terancang’ sudah dijawab oleh Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM).

“Apa lagi dia (Muhyddin) nak kata, bagi saya dia tumpukan kepada kes mahkamah sajalah.

“Jawab di mahkamah, pertuduhan pun sudah dikeluarkan,” katanya seperti dilapor Harapan Daily.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Muhyiddin yang menyifatkan pertuduhan terhadapnya adalah satu ‘pertuduhan terancang’.

Semalam, Muhyiddin mempersoalkan bagaimana Jabatan Peguam Negara boleh membuat keputusan lebih awal untuk mendakwanya sedangkan beliau belum memberikan sebarang kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Presiden Bersatu itu berkata, beliau mengetahui keputusan untuk mendakwa dirinya sudah diputuskan oleh kerajaan walaupun siasatan belum dilengkapkan.

Terdahulu, Muhyiddin menghadapi enam pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009 merangkumi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta. – Malaysiapost

Komen