‘Beri peluang kepada Dr Akmal kemudi Pemuda Umno’ – Asyraf Wajdi
KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap perwakilan Pemuda Umno seluruh negara dapat memberikan peluang kepada tokoh muda, Dr Akmal Saleh untuk mengemudi sayap itu dalam pemilihan hari ini.
Asyraf Wajdi yang tidak mempertahankan jawatan berkenaan berkata, Pemuda Umno harus ‘diwajahkan’ dengan generasi kepimpinan baharu yang muda, mempunyai idealisme segar dan paling penting berjati diri agama yang kental.
“Justeru, saya memohon agar para Perwakilan Pemuda Umno seluruh Malaysia untuk memberikan peluang kepada tokoh muda Dr Akmal Saleh, satu-satunya calon Ketua Pemuda Umno berumur 35 tahun iaitu 40 tahun ke bawah.
“Manakala, Mohd Hairi Mad Shah, 38, selaku Calon Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia. Masing-masing menang dalam pilihan raya dan diangkat selaku Exco Kerajaan Negeri Melaka dan Johor,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Asyraf Wajdi, landskap politik tanah air sudah berubah dengan pengundi muda berumur 40 tahun ke bawah bakal menjadi majoriti di kalangan pemilih.
“Semua sudah maklum bahawa saya tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda Umno kerana merasakan selepas hampir 5 tahun menakhodai Pemuda, sudah tiba masanya untuk Pemuda diterajui oleh mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.
“Buatlah pilihan terbaik demi kelangsungan perjuangan parti yang harus kembali kepada akar perjuangan sejati berteraskan roh Islam sebenar,” katanya.
Umno hari ini mengadakan mesyuarat perwakilan dan pemilihan sayap secara serentak di seluruh negara bagi memilih jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian dan pusat sesi 2023/2026. – Malaysiapost