‘Buat salah, tapi semua salah LGE’ – Guan Eng bidas Muhyiddin
PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menyifatkan tindakan pihak tertentu yang menuduhnya bagi menutup kesalahan yang dilakukan adalah perkara biasa yang sering dihadapinya.
Menerusi hantaran ringkas di Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan itu dipercayai menujukan kenyataan tersebut kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan isu cukai Yayasan Albukhary.

“Buat salah, tapi semua salah LGE? Dah biasalah,” katanya di Facebook berserta emoji ‘serabut’.
Terdahulu, Muhyiddin bertegas mendakwa Guan Eng bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan mengenakan semula cukai dan cukai penalti ke atas Yayasan Albukhary.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) enggan melaksanakan pengecualian cukai yang telah diberikan kepada yayasan tersebut selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara pada Mei 2018.
Sebaliknya Muhyiddin mendakwa, LHDN di bawah kuasa Guan Eng sebagai Menteri Kewangan ketika itu telah bertindak mengenakan semula cukai berserta 45 peratus cukai penalti terhadap yayasan yang dinaungi Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.
Muhyiddin berkata demikian bagi menjawab tuduhan Guan Eng yang mendakwanya berbohong apabila mengaitkannya dengan keputusan semasa beliau menjadi Menteri Kewangan.
Semalam, Guan Eng meminta Muhyiddin menunjukkan bukti beliau telah mengeluarkan arahan sebagai Menteri Kewangan untuk membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Tegas Guan Eng, sekiranya Muhyiddin gagal berbuat demikian, beliau akan mendapatkan nasihat undang-undang terhadap dakwaan yang disifatkan sebagai pembohongan oleh Ahli Parlimen Pagoh tersebut. – Malaysiapost