Bunuh Harimau Malaya, 4 ditahan

Bunuh Harimau Malaya, 4 ditahan

POLIS melumpuhkan satu rangkaian sindiket pemburuan haram hidupan liar termasuk Harimau Malaya di sekitar Gua Musang, Kelantan baru-baru ini menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK)

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata pasukan siasatan khas Wildlife Crime Bureau, Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) telah melancarkan beberapa siri OBK dalam usaha membendung aktiviti pemburuan dan pencerobohan haram yang menyasarkan hidupan liar bagi mengaut keuntungan.

Menurutnya, pada 23 Februari lalu berdasarkan risikan dan maklumat berkaitan pemburuan haram, pasukan khas berkenaan telah melancarkan operasi di daerah Gua Musang dan hasil serbuan berkaya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 42 tahun.

“Serbuan juga berjaya merampas dua bahagian bangkai seekor Harimau Malaya dan tiga telefon bimbit pelbagai jenama dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM303,000.

“Siasatan kes itu dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengikut Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Gua Musang pada 2 Mac lalu dan dua daripada tertuduh telah mengaku salah serta dikenakan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM450,000 serta tambahan 12 bulan penjara jika gagal membayar denda.

“Kedua-dua tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan dan mahkamah menjatuhkan hukuman 22 bulan penjara.

“Manakala seorang lagi suspek mengaku tidak bersalah dan dikenakan jaminan RM30,000. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 April ini,” katanya.

Noorsiah berkata, rentetan daripada tangkapan itu, pada 27 Februari lalu polis berjaya mengesan dan menahan suspek lelaki berusia 65 tahun yang merupakan pemilik senapang berlesen yang digunakan kesemua suspek bagi tujuan memburu secara haram.

“Hasil daripada tangkapan itu, polis merampas satu laras senapang jenis Benelli bersama beg senapang warna hitam; 28 butir peluru, sebuah buku lesen memiliki senjata dan peluru.

“Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM12,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) dan Seksyen 8(b) Akta Senjata 1960 (Akta 206),” katanya.

Menurutnya, polis melalui WCB/PSK sentiasa komited dalam usaha untuk memerangi jenayah berkaitan dengan hidupan liar khususnya pemburu haram dan mereka yang menjalankan perdagangan melibatkan spesies yang dilindungi dan terancam.

Beliau berkata, polis juga menyambut baik kerjasama dijalankan di bawah OBK ini dan sentiasa menyokong hasrat kerajaan untuk memastikan khazanah negara sentiasa terpelihara untuk generasi akan datang. – Malaysiapost

Komen