Dr Akmal medahului perebutan kerusi Ketua Pemuda Umno

Dr Akmal medahului perebutan kerusi Ketua Pemuda Umno

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh, kini sedang mendahului dalam saingan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia pada Pemilihan Umno 2023 yang berlangsung hari ini.

Difahamkan, berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 4.45 petang tadi, Dr Muhamad Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, sudah mendahului di 63 bahagian daripada 191 keseluruhan Bahagian Umno.

Terdahulu Dr Muhamad Akmal dalam satu hantaran di laman Facebooknya pagi tadi, bersyukur dengan momentum sokongan daripada perwakilan seluruh negara kepadanya.

“Alhamdulilah..Alhamdulilah…Alhamdulilah..Good momentum pagi ini. Terima kasih atas kepercayaan rakan-rakan yang telah mengundi pagi ni.

“Insy-Allah kepercayaan anda semua tidak akan saya sia-siakan..Demi sebuah pengharapan. Pemuda cara kita,” katanya.

Sementara itu, difahamkan juga tiga lagi calon bagi jawatan berkenaan sudah ketinggalan iaitu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, yang baru beroleh undi di tiga bahagian

Manakala bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah, yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, setakat ini memperoleh sokongan daripada dua bahagian dan seorang lagi calon, Meor Hassan Mat Ali, belum mendapat sebarang undi.

Sejumlah 266 calon bersaing merebut 15 jawatan dipertandingkan pada Pemilihan Umno 2023 bagi Wanita, Pemuda serta Puteri peringkat Pusat, hari ini.

Pemilihan berlangsung serentak dengan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian di seluruh negara. – Malaysiapost

Komen