‘Masjid, surau untuk satukan ummah, bukan mencarikkan’ – Khairuddin
SETIAUSAHA Eksekutif Majlis Ulama Umno, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegur pihak tertentu yang menggunakan surau dan masjid sebagai medan untuk menyindir dan menghentam saingan politik kepartian.
Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu, berkata masjid dan surau sepatutnya perlu dijadikan platform menyatukan umat atas nama Islam dan bukan sebaliknya.
“Para alim ulama perlu bersifat menyatu kalangan umat bukan terus mencarikkan. Persaingan politik kepartian sesama Muslim jangan dinaratifkan bagaikan pertembungan iman dan kufur.
“Lalu dibaca ayat-ayat pertembungan antara jahiliyah Quraisy yang kufur dan menentang Islam dengan Rasulullah SAW untuk memberi mesej salah bahawa persaingan ini adalah persaingan Islam dan kufur,” katanya menerusi Facebook.
Walaupun Mohd Khairuddin tidak menamakan sesiapa dalam hantaran berkenaan, namun ia dipercayai ditujukan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata, beliau akan tetap meneruskan ceramah di masjid dan surau seperti biasa walaupun wakil rakyat di Terengganu dilarang berbuat demikian.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, mereka akan hadapi sahaja arahan berkenaan kerana dalam Islam, politik dan agama tidak boleh dipisahkan.
Sementara itu, Mohd Khairuddin juga menegur tindakan pihak yang mendoakan ‘kemusnahan’ sesama umat Islam.
“Doa-doa khusus memohon kemusnahan sesama muslim wajar dielakkan. Ia mencarik bukannya menyatu,” katanya.
Minggu lalu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu melarang ahli politik termasuk Ahli Parlimen, Adun serta senator daripada memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di negeri itu. – Malaysiapost