MPT bincang kedudukan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu petang ini
STATUS Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu dijangka dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu petang ini.
Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Katanya, perbincangan tersebut dibuat susulan kedudukan Muhyiddin yang kini berdepan enam pertuduhan mahkamah membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat MPT Bersatu di Taman Melewar, Kuala Lumpur kira-kira jam 6.30 petang nanti.
“Ia akan disusuli ceramah membabitkan kepemimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang akan diadakan di lokasi sama malam ini,” katanya pada sidang media, hari ini.
Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata akan membawa perkara berhubung kedudukannya sebagai Presiden Bersatu kepada MPT parti itu untuk membuat sebarang ketetapan.
Terdahulu,Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas enam pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.
Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah. – Malaysiapost