Muhyiddin diminta hujah di mahkamah, bukan di khalayak umum
TAN Sri Muhyiddin Yassin ‘ditegur’ supaya menggunakan mahkamah jika ingin berhujah berhubung pendakwaan di mahkamah yang dihadapinya kini.
Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil berkata, bekas Perdana Menteri itu perlu mengikut proses yang betul dan tidak membuat sebarang tuduhan atau dakwaan di khalayak umum.
“Bagi pihak kerajaan semestinya kita ikut proses, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara juga sudah menyatakan bahawa mereka bersifat ‘independent’ dan tidak ada arahan daripada sesiapa.
“Mereka melihat kepada fakta untuk bawa kes ke mahkamah jadi mungkin Tan Sri Muhyiddin perlu berhujah di mahkamah bukan berhujah di khalayak, kerana jika beliau menuduh sesiapa menyatakan mahu serang beliau, itu persepsi yang salah.
“Saya pohon Tan Sri Muhyiddin ikut proses dan hujah di mahkamah,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Johor di Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Taman Pelangi, Johor Bahru hari ini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, Presiden Bersatu itu perlu bersifat adil dalam soal pendakwaan itu memandangkan sebelum ini beliau tiada masalah dengan tindakan undang-undang terhadap parti politik lain.
“Sebelum ini, contohnya dalam isu pembekuan akaun, bila kena pada Umno, beliau (Muhyiddin) kata ikutlah (proses), jadi kali ini apabila kena pada Bersatu lain pula jadinya,” katanya. – Malaysiapost