Pengarah, pelakon ‘Mentega Terbang’ sudah beri keterangan di Bukit Aman

Pengarah, pelakon ‘Mentega Terbang’ sudah beri keterangan di Bukit Aman

PENGARAH dan seorang pelakon filem Mentega Terbang telah dipanggil Bukit Aman bagi mengambil keterangan, dua hari lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata kedua-duanya dirakam percakapan pada jam 10 pagi di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Rakaman percakapan ke atas penerbit filem pula akan dirakamkan pada 14 Mac ini.

“Kes masih dalam siasatan pihak USJT dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan Pengarah filem ‘Mentega Terbang’, Khairi Anwar Jailani, dan seorang pelakonnya, Arjun Thanaraju hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan, Khamis lalu.

Khairi Anwar dilaporkan hadir bersama peguamnya, Zaid Malek, dan direkod keterangan lebih dua jam sebelum keluar jam 12.15 tengah hari, manakala Arjun hadir bersama peguamnya, Mahajoth Singh, lapor Free Malaysia Today.

Zaid memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 298A dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, masing-masing kerana menimbulkan suasana tidak harmoni dan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

Katanya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Filem berdurasi sejam 45 minit itu menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anak memilih agama, di mana perbuatan itu bertentangan dengan Islam. – Malaysiapost

Komen