Polis akan panggil penganjur himpunan solidariti Muhyiddin

Polis akan panggil penganjur himpunan solidariti Muhyiddin

POLIS akan memanggil beberapa pihak atau individu terlibat dalam himpunan solidariti terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, satu kertas siasatan telah dibuka oleh pihaknya selepas menerima laporan berhubung perhimpunan di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, polis telah mengenal pasti individu atau pihak penganjur perhimpunan yang terlibat, seterusnya dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat.

“Siasatan berhubung penganjuran perhimpunan solidariti di hadapan bangunan SPRM di Putrajaya sedang dijalankan.

“Pastinya akan ada pihak atau individu yang akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, dianggarkan seramai 150 hingga 170 individu terdiri daripada penyokong Muhyiddin serta petugas media berada di lokasi ketika himpunan berkenaan dianjurkan.

Difahamkan, himpunan itu dibuat susulan penahanan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, Khamis lalu.

Muhyiddin kemudian dibebaskan dengan jaminan SPRM dan keluar kira-kira jam 8.20 malam. – Malaysiapost

Komen