Rakyat minta pengeluaran bersasar, bukan cagar KWSP – Armada
KERAJAAN perlu mencari penyelesaian lebih baik bagi membantu rakyat berbanding membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan sebagai cagaran membuat pinjaman bank.
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, cadangan tersebut juga jauh ‘tersasar’ daripada kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi pembangkang sebelum ini.
“Bila rakyat minta pengeluaran KWSP bersasar, apa jawapan Menteri Kewangan (Anwar)? Dia suruh cagar pula simpanan kita kepada bank.
“Dulu dia yang kata banker jaga banker. (Sedangkan) dulu kita yang cabar bank hapuskan hutang dan sebagainya,” katanya.
Beliau bekata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada, hari ini.
Wan Fayhsal berkata, kerajaan seharusnya membawa cadangan yang lebih baik dan dapat membantu rakyat pada jangka panjang.
“Bukan itu (simpanan KWSP dijadikan cagaran) yang rakyat mahu. Jika tengok semua komen, sekurang-kurangnya oleh netizen, semuanya negatif,” katanya.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, melihat akan kesusahan dihadapi rakyat ketika ini, adalah wajar untuk kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP bersasar.
“Rakyat tengah susah (jadi) bagi pengeluaran (KWSP) yang bersasar,” katanya.
Khamis lalu, Anwar berkata, kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.
Perdana Menteri berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang ‘terdesak’ untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit. – Malaysiapost