Saingan jawatan Ketua Wanita Umno masih sengit
PERSAINGAN bagi jawatan Ketua Wanita Umno antara penyandang jawatan Datuk Seri Noraini Ahmad dengan bekas penerajui kerusi berkenaan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dilihat cukup sengit ketika ini.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 9 malam tadi, Noraini mendahului dengan 18 undian bahagian, manakala Shahrizat mendapat undian daripada 14 bahagian.
Selain itu, Penyandang Naib Ketua Wanita Umno, Norliza Abdul Rahim masih lagi mendahului dua pencabar lain dalam persaingan bagi merebut jawatan nombor dua sayap itu dengan mendapat undian daripada 22 bahagian .
Bagi saingan jawatan Ketua Pemuda Umno pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh sudah mula meninggalkan jauh tiga pesaingnya dengan mendapat undian daripada 29 bahagian setakat ini.
Manakala dalam perebutan jawatan naib ketua Pemuda Umno, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham mendahului tipis dengan kelebihan satu undian iaitu daripada 19 bahagian berbanding pencabar terdekat Mohd Hairi Mad Shah.
Sementara itu, jawatan Ketua Puteri Umno selesa didahului oleh Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dengan mendapat undian daripada 40 bahagian meninggalkan pencabar terdekat Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang mendapat 19 undi setakat ini.
Perebutan jawatan Naib Ketua Puteri Umno pula selesa didahului oleh Siti Sokhleha Nordin yang mendapat undian daripada 48 bahagian. – Malaysiapost