SPRM sahkan Muhyiddin akan didakwa lagi kes wang haram

SPRM sahkan Muhyiddin akan didakwa lagi kes wang haram

TAN Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi akan dihadapkan ke mahkamah Isnin ini bagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Perkara tersebut disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Katanya, pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu akan dilakukan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Beliau berkata, pertuduhan di bawah AMLATFPUAA terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu ekoran siasatan melibatkan kes projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang disiasat suruhanjaya berkenaan.

“Muhyiddin akan dituduh di bawah AMLATFPUAA di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin ini,” katanya.

Azam berkata, mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Semalam, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur enam pertuduhan selepas didakwa menggunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan dibenarkan jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin serta diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah. – Malaysiapost

Komen