Tempoh mengundi Pemilihan Umno dilanjutkan di kawasan terjejas banjir

Tempoh mengundi Pemilihan Umno dilanjutkan di kawasan terjejas banjir

TEMPOH pengundian bagi pemilihan Umno 2023 peringkat sayap hari ini dilanjutkan sehingga jam 7 malam khusus bagi bahagian Umno yang terkesan banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU), Tan Sri Shahrir Samad, berkata pihaknya pendekatan sama juga akan dilaksana pada persidangan 18 Mac depan sekiranya situasi banjir khususnya di Johor masih belum reda sepenuhnya.

Beliau berkata, bagi lanjutan proses pemilihan peringkat sayap esok, JPU sudah memutuskan proses pemilihan di bahagian Umno Parit Sulong di Batu Pahat, Johor dilanjutkan sehingga tempoh itu.

“Bagi bahagian-bahagian yang terkesan akibat banjir seperti Parit Sulong, JPU sudah memutuskan bahawa tempoh masa untuk mengundi boleh dilanjutkan sehingga jam 7 petang bagi membolehkan seberapa ramai perwakilan menyertai pemilihan Umno di peringkat sayap di bahagian mereka.

“Sekiranya keadaan itu berlarutan juga sehingga 18 Mac, kaedah sama boleh juga dipakai oleh bahagian Parit Sulong atau bahagian lain untuk keselesaan dan melancarkan pengundian bolehlah diadakan tempoh pemilihan sehingga jam 7 petang pada hari yang sama,” katanya memetik Umno Online.

Shahrir berkata, JPU tidak boleh mengalihkan daripada tarikh perwakilan sayap yang sudah ditetapkan pada 11 Mac dan 18 Mac bagi bahagian tetapi proses pengundian itu boleh dipanjangkan sehingga jam 7 petang.

Bahagian Umno Parit Sulong, Sri Gading, Segamat dan Ayer Hitam antara bahagian yang terkesan ketika ini ekoran banjir termenung yang melanda kawasan berkenaan.

Berdasarkan data di Portal Bencana Banjir Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) setakat jam 6 pagi semalam, lebih 37,230 mangsa banjir masih direkodkan di Batu Pahat membabitkan 10,440 keluarga.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, JPU juga memutuskan proses pemilihan parti bahagian Umno Rompin di Pahang diadakan di dua tempat berasingan.

“Pihak JPU sudah membuat cadangan kepada bahagian Rompin untuk membenarkan perwakilan diadakan di dua tempat yang berasingan. Ini bermakna adanya kita akan tambah pemantauan dan penyelarasan daripada JPU.

Hari ini, akan diadakan mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri bahagian, serentak dengan pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Selain itu Shahrir berkata, dua bahagian Umno yang ditangguhkan perwakilannya sebelum ini iaitu Kota Kinabalu di Sabah dan Tanah Merah di Kelantan tidak akan terbabit dalam pemilihan parti di peringkat kebangsaan. – Malaysiapost

Komen