Wan Fayhsal umum lepas jawatan Ketua Armada

Wan Fayhsal umum lepas jawatan Ketua Armada

KETUA Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya ketika ini pada pemilihan akan datang.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang, berkata keputusan tersebut dibuat kerana beliau sudah melebihi umur yang sah untuk menerajui sayap parti itu.

“Perhimpunan Agung Tahunan Armada (ini) adalah yang terakhir saya. Saya akan ‘graduate’ (melangkah) ke fasa seterusnya.

“Jadi saya akan wariskan Armada kepada perwakilan untuk teruskan pertempuran akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu, hari ini.

Wan Fahysal berkata, pemilihan Bersatu yang dijadual berlangsung pada Oktober depan akan menentukan calon yang akan menggantikan tempatnya nanti.

Untur rekod, Wan Ahmad Fayhsal dipilih sebagai Ketua Armada dalam pemilihan parti pada Ogos 2020 lalu dengan menewaskan pesaing Muzzammil Ismail yang merupakan Exco Armada.

Dalam perkembangan berkaitan, Penolong Setiausaha Armada, Muhammad Faiz Rahmad berkata, keahlian sayap parti itu kini mencecah seramai 120,756 orang.

Beliau berkata, jumlah keahlian meningkat sebanyak 11,637 orang berbanding 109,119 pada tahun sebelumnya. – Malaysiapost

Komen