2 lelaki rentung pacuan empat roda langgar lori kontena

2 lelaki rentung pacuan empat roda langgar lori kontena

DUA lelaki rentung apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbakar selepas melanggar sebuah lori kontena di Kilometer 108.8 Lebuhraya Pantai Timur dekat Kampung Cempaka, Kuantan, awal pagi tadi.

Difahamkan, akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tersepit dalam kenderaan jenis Ford Rangers. Bagaimanapun, pemandu lori kontena yang membawa muatan alat ganti kereta dilapor selamat dalam kejadian tersebut.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 5.24 pagi.

“Tujuh anggota dan dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama sebuah jentera dan tangki air bantuan daripada BBP Bukit Angin dikerahkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah Ford Ranger dan lori kontena terbabit.

“Terdapat dua mangsa tersebut yang tersepit dan terbakar dalam Ford tersebut,” katanya kenyataan, hari ini.

Katanya, pasukan bomba membuat operasi pemadaman dengan menggunakan dua aliran hos.

“Mayat kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan selepas operasi pemadaman selesai sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

Komen