25 pam bergerak diguna atasi banjir termenung di Batu Pahat

25 pam bergerak diguna atasi banjir termenung di Batu Pahat

MASALAH banjir termenung yang melanda Batu Pahat akan diatasi secepat mungkin dengan penggunaan sekurang-kurangnya 25 pam bergerak

Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali berkata, pelaksanaan inisiatif itu mampu mengawal impak banjir bagi kawasan-kawasan yang terlibat banjir.

“Saya menjangkakan dalam minggu ini, kita dapat mempercepatkan usaha mengepam air keluar. Inilah usaha-usaha yang kita rasakan paling cepat berkesan dalam tempoh yang terdekat ini,” katanya lapor Astro AWANI.

Menurutnya, ketika ini, tujuh pam telah diaktifkan, dengan 13 lagi baru diterima dan sedang dipasang.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan membekalkan lima lagi pam bergerak hari ini dan esok.

“Ketika ini, sebanyak tujuh pam telah diaktifkan, dan esok sekurang-kurangnya 25 pam akan aktif.

“Ini adalah inisiatif kerajaan negeri yang terus membantu daerah Batu Pahat supaya air dapat dikeluarkan dan sekali gus dapat membantu mempercepatkan pengurangan air di kawasan terlibat banjir,” katanya.

Jelasnya, pemasangan pam itu membabitkan sungai-sungai di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Semerah, Sri Gading, Semarang, Penggaram dan Sri Medan. – Malaysiapost

Kredit foto: Astro Awani

Komen