Ada pelanggaran etika pemilihan Ketua Wanita Umno Bahagian Bagan Datuk – Anak Zahid

Ada pelanggaran etika pemilihan Ketua Wanita Umno Bahagian Bagan Datuk – Anak Zahid

DATUK Nurul Hidayah Ahmad Zahid yang tewas dalam saingan Ketua Wanita Umno Bahagian Bagan Datuk di Pemilihan Umno 2023 semalam, mendakwa berlaku pelanggaran etika ketika proses pemilihan itu berlangsung.

Beliau yang merupakan anak kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pelanggaran itu membabitkan Perkara 4, Tataetika Pemilihan Umno 2023, berkaitan pengaruh tidak wajar.

“WhatsApp pada malam pemilihan 10 Mac daripada seorang yang sudah dikenal pasti. Manipulasi, tipu helah, mendorong dan mengganggu.

“Perjuangan saya belum lagi tamat. Saya tidak kalah cuma belum lagi menang. Undi saya 115/268 dan yang ‘masih menang’ 133/268.

“Ini sudah dibawa ke Jawatankuasa Pemilihan Umno,” katanya di hantaran Facebook hari ini.

Dalam hantaran itu juga, Nurul Hidayah memuat naik tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp berkenaan dakwaannya itu.

Perbualan tersebut mengandungi ayat berbentuk arahan, meminta supaya perwakilan Wanita Umno di bahagian itu supaya menyokong penyandang Ketua Wanita Umno Bagan Datuk, Zarozatin Isa.

Biarpun anak kepada Timbalan Perdana Menteri itu tewas dalam pemilihan Ketua Wanita Umno di bahagian Bagan Datuk semalam, namun Nurulhidayah menang jawatan Exco Wanita Umno pusat.

Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat Pusat bagi sesi 2023-2026, berlangsung semalam, serentak dengan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian di seluruh negara. – Malaysiapost

Komen