Anak Zahid tewas di Bagan Datuk
ANAK kepada Presiden Umno, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid gagal memenangi jawatan Ketua Wanita Umno Bahagian Bagan Datuk pada pemilihan, semalam.
Nurulhidayah tewas kepada penyandang jawatan berkenaan, Zarozatin Isa.
Bagaimanapun, beliau berjaya mendapat undi kedua terbanyak bagi jawatan Exco Wanita Umno Pusat dengan memperoleh 330 undi.
Menerusi hantaran di Facebook, Nurulhidayah mengucapkan terima kasih kepada perwakilan yang memilih dan memberikan mandat serta amanah kepadanya.
“Sesungguhnya ia adalah amat luar biasa bagi saya dan keterujaan ini memberikan saya semangat untuk terus berjuang dan sedia berkhidmat dengan parti keramat Umno. Hidup Umno,” katanya.
Semenatra itu, jawatan Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Bagan Datuk pula dimenangi Zainab Samsudin.
Bagi jawatan Ketua Pemuda Umno bahagian pula menyaksikan muka baharu apabila Muhammad Nabil Saleh dipilih perwakilan. Manakala Naib Ketua Pemuda bahagian dimenangi Mohd Izlahudin Shawani Mohd Nordin.
Sementara itu bagi jawatan Ketua Puteri Umno Bahagian Bagan Datuk, dimenangi Nurul Salina Mohamad manakala Nurul Azura Ramli pula sebagai Naib Ketua Puteri Umno bahagian berkenaan.
Umno Bahagian Bagan Datuk diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini. – Malaysiapost