Asyraf Wajdi anggap pelantikan Pengerusi MARA tanggungjawab berat

Asyraf Wajdi anggap pelantikan Pengerusi MARA tanggungjawab berat

BEKAS Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan pelantikannya sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai amanah berat yang akan dipikul dengan penuh intergriti.

Asyraf Wajdi berkata, beliau akan memanfaatkan pengalamannya dalam dunia akademik, korporat perbankan, kewangan dan juga politik untuk memperkasakan MARA.

“MARA merupakan institusi penting yang memfokuskan agenda pembangunan modal insan, pendidikan keusahawanan dan agenda memberdaya ekonomi dan pelaburan Bumiputera-Melayu,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi atas kepercayaan berkenaan.

“Terima kasih semua atas semua mesej-mesej ucapan tahniah yang diberikan. Tak sempat saya membalas satu persatu.

“Cuma saya dengan rendah hati memohon doakan agar dapat saya melaksanakan amanah yang berat ini dengan berkesan, penuh berintegriti, dan yang paling utama sentiasa diberkati Allah,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengesahkan Asyraf Wajdi dilantik sebagai Pengerusi MARA yang baharu berkuat kuasa Jumaat lalu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, surat watikah pelantikan itu diserahkan kepada Asyraf Wajdi di pejabatnya, kelmarin. – Malaysiapost

Komen