‘Dakwa saya ke mahkamah kejayaan terbesar kerajaan’ – Muhyiddin

‘Dakwa saya ke mahkamah kejayaan terbesar kerajaan’ – Muhyiddin

PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa ‘kejayaan terbesar’ 100 hari kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah membuat pertuduhan terhadapnya di mahkamah.

Malah, menurutnya, rakyat sendiri yang memberi markah gagal kepada kerajaan berdasarkan kaji selidik yang dijalankan firma penyelidik dengan media arus perdana itu.

“Dalam satu kaji selidik yang dilaksanakan oleh sebuah firma penyelidikan dengan kerjasama media arus perdana, tidak ada seorang pun menteri kerajaan campuran ini yang mendapat skor melebihi 50 peratus, termasuk Perdana Menteri.

“Ini bermakna, dalam tempoh yang singkat, rakyat telah memberikan markah gagal kepada kerajaan. Bukan kita yang kata mereka gagal tetapi rakyat yang kata.

“Mungkin kejayaan mereka yang paling besar setakat ini ialah mendakwa saya di mahkamah. Itu sajalah. Yang lain, yillek,” katanya berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-5, hari ini.

Muhyiddin berkata, jika keadaan itu berterusan, beliau yakin kerajaan campuran itu akan ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Walaupun mereka ada majoriti dua pertiga di Parlimen, tetapi
mereka sebenarnya tidaklah sekuat mana. Kita boleh nampak kerapuhan hubungan mereka apabila mereka berbalah sesama sendiri di Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, berkata Umno kini bukan lagi mementingkan kuasa politik Melayu, tetapi menjadi alat meneruskan kelangsungan kuasa Pakatan Harapan.

“Bagi kita dan sebahagian besar orang Melayu, inilah pengakhiran hayat Umno. ‘It is the final nail in Umno’s coffin’ (penamat kepada Umno). Tetapi, jatuh bangun Umno itu bukan masalah kita.

“Saya percaya orang Melayu sedar tentang percaturan
politik kotor yang sedang berlaku di depan mata mereka. Orang Melayu semakin celik politik dan tidak boleh dipermainkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen