Guan Eng beri Muhyiddin sehingga Rabu untuk mohon maaf, tarik balik dakwaan
LIM Guan Eng memberikan masa sehingga Rabu ini kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat permohonan maaf dan menarik balik dakwaan yang mengaitkan namanya dengan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary.
Ahli Parlimen Bagan itu juga mengulangi pendiriannya mendesak Muhyiddin menampilkan bukti yang menyokong dakwaan tersebut.
“Malangnya, Muhyiddin masih tidak jujur sekadar ‘cakap kosong’ tanpa menunjukkan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya terhadap saya.
“Muhyiddin memang berbohong kerana terus gagal menunjukkan surat arahan spesifik daripada saya sebagai Menteri Kewangan untuk membatalkan pengecualian cukai, mengenakan cukai dan cukai penalti 45 peratus yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Yayasan Al-Bukhary,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Guan Eng menegaskan, beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan saman malu terhadap Presiden Bersatu itu, bagi mengelakkan diri daripada diheretkan dalam pertuduhan rasuah Muhyiddin, yang tidak ada kena-mengena dengannya.
Katanya, Muhyiddin harus berfikir baik-baik sebelum berdegil dengan pembohongan berniat jahat ke atas beliau.
Kata Pengerusi DAP itu lagi, tindakan Muhyiddin tersebut jelas cuba memainkan sentimen, menghasut dan mengapi-apikan rakyat dengan menuding jari kepada beliau yang membatalkan pengecualian cukai yang dinikmati oleh sebuah pertubuhan amal Islam.
“Adalah lebih baik Muhyiddin memberi fokus komprehensif kepada pertuduhan rasuah oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah) dan bukan berdepan dengan prosiding mahkamah saman malu yang akan memaksa beliau membayar ganti rugi, menarik balik dan memohon maaf atas fitnahnya.
“Muhyiddin kini sedang berdepan dengan enam pertuduhan salah guna kuasa untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu,” ujarnya.
Semalam, Muhyiddin mendedahkan Pakatan Harapan (PH) enggan melaksanakan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary yang diberikan sebelum ini selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, sebaliknya PH telah mengenakan semula cukai berserta 45 peratus cukai penalti kepada yayasan terbabit.
Muhyiddin berkata, Guan Eng merupakan Menteri Kewangan ketika pentadbiran PH yang bertanggungjawab ke atas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada ketika itu. – Malaysiapost