Kakitangan Imigresen cedera dipijak pegawai kanan
SEORANG pegawai Jabatan Imigresen cedera selepas didakwa dipijak pegawai kanan jabatan itu di Depot Imigresen Sementara di Bidor, Perak, Khamis lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian oleh mangsa jam 2 pagi, Jumaat lalu, di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.
Katanya, siasatan polis mendapati kejadian berlaku jam 9.30 pagi Khamis ketika hari terakhir mangsa yang juga seorang lelaki menjalani Ujian Kecergasan Pegawai dan Anggota Pasukan Taktikal Khas (Pastak).
“Mangsa bersama dua pelatih diarahkan oleh suspek melakukan hukuman tekan tubi sebanyak 20 kali. Semasa sedang melakukan tekan tubi, suspek telah memijak bahagian belakang leher sehingga menyebabkan mangsa tersungkur.
“Disebabkan perbuatan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian hidung, sebatang gigi hadapan patah, luka bahagian gusi dan luka pada bibir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat kecederaan itu, mangsa berusia 25 tahun telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam, Selangor.
Mohd Yusri berkata, polis telah memanggil suspek dan kesemua saksi yang terlibat dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya. – Malaysiapost