Kerajaan campuran PH-BN peralat agensi kerajaan – Hamzah

Kerajaan campuran PH-BN peralat agensi kerajaan – Hamzah

DATUK Seri Hamzah Zainudin menyatakan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memperalatkan agensi-agensi kerajaan melakukan ‘character assassination’ ke atas pemimpin Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung PN itu berkata, kerajaan PH-BN melakukan pendakwaan terpilih yang bermotif politik serta penganiayaan.

“Tetapi yakinlah, percayalah, kita di pihak yang benar. Masakan tidak. Siasatan belum pun lengkap, kertas pertuduhan telah pun tersedia dan sengaja disebarkan untuk memalukan pemimpin kita dan sudah tentu untuk memalukan parti kita.

“Malah ketika dalam mahkamah, sesudah pertuduhan telah pun dibacakan, apabila diminta dokumen lengkap oleh para peguambela kita, pihak mereka belum pun ada dokumen lengkap pertuduhan itu.

“Maknanya apa? Maknanya jelas, iaitu mereka hanya mahu melakukan pertuduhan politik bagi merosakkan imej Bersatu dan Perikatan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023, di Dewan Wawasan PGRM hari ini.

Hamzah berkata, kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang rapuh dan sarat dengan kepentingan peribadi.

Ujarnya, kerajaan campuran PH-BN hari ini bergabung atas kepentingan masing-masing.

“Marriage Of Conveniece ini tidak berlandaskan keikhlasan. Mereka cuma saling guna mempergunakan antara satu sama lain.

“Yang pasti mereka cuma berkongsi bantal tetapi mimpinya lain-lain. Isnya-Allah, mimpi mereka ini tidak akan berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan hari ini tidak berusaha menangani isu kepentingan rakyat, malah ekonomi negara tidak diuruskan dengan baik, tetapi sibuk mencari serta mencipta pertuduhan ke atas musuh politik.

“Hari ini pun, rakyat sudah nampak retak-retak perpecahan sesama mereka. Mereka sudah bercakaran secara terbuka semasa sendiri. Mereka saling menyerang secara terbuka antara satu sama lain.

“Percayalah mereka ini ibarat buah busuk, dia akan jatuh dengan sendiri dan insyallah tidak lama lagi,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Hamzah turut mengingatkan ahli Bersatu bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan pertarungan yang enteng dan pihak lawan akan melakukan apa sahaja demi untuk mengalahkan mereka.

“Nafiri perang Pilihan Raya Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sudah dibunyikan. Makanya, kita tidak boleh sedikit pun terlalai dan berada dalam silent mood,” tegasnya.

Beliau berkata, PRN bukan sekadar penentu kepada survival dan hala tuju Bersatu, malah ia menentukan berapa lama hayat kerajaan PH-BN mampu untuk bertahan. – Malaysiapost

Komen