Ketua Pemuda Umno perlu terus jadi jurubicara rakyat – Asyraf Wajdi
MANTAN Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menasihatkan Dr Muhamad Akmal Saleh agar terus menjadi jurubicara rakyat, selain menggerakkan agenda mendampingi kelompok anak muda bagi kelangsungan perjuangan parti.
Beliau menerima kunjungan peneraju baharu sayap Umno itu di kediamannya hari ini, bersama Naib Ketua Pemuda Umno Mohd Hairi Mad Shah, beserta beberapa Exco yang baru dipilih.
“Saya juga menasihatkan kepada adinda-adinda saya ini agar sentiasa menjaga hubungan dengan Allah kerana amanah perjuangan ini amat berat, mencabar dan penuh berliku; dan pastinya mendambakan pertolonganNya,” katanya di hantaran Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi turut berkongsi amalan asas untuk memastikan perjuangan sentiasa dalam peliharaan dan dipermudahkan Allah SWT.
Katanya, amalan selain daripada yang wajid diamalkan setiap hari adalah solat tahajud, membaca al-Quran, dan zikir khusus (Mathurat).
“Moga-moga Allah memelihara dan mempermudahkan seluruh barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang baharu dalam meneruskan agenda besar perjuangan Umno hari ini,” katanya.
Muhamad Akmal Saleh dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno yang baharu pada pemilihan Umno 2023 yang berlangsung semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu mendahului jauh tiga pencabarnya yang lain dan telah melepasi majoriti mudah yang diperlukan.
Sejumlah 266 calon bersaing merebut 15 jawatan dipertandingkan pada Pemilihan Umno 2023 bagi Wanita, Pemuda serta Puteri peringkat Pusat, semalam. – Malaysiapost