Mayat remaja lemas Jumaat lalu ditemui

Mayat remaja lemas Jumaat lalu ditemui

MAYAT remaja lelaki dipercayai lemas selepas dihanyutkan ombak ketika mandi di Pantai Cempaka di Kuantan, Pahang Jumaat lalu, ditemui jam 11.50 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mayat Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri, 15, ditemui orang awam dalam keadaan terdampar di Pantai Sepat, kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Keluarga mangsa sudah mengesahkan identiti mangsa di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.

Mangsa beralamat di Taman Kempadang Perdana, dilaporkan hilang semasa mandi bersama empat rakan di pantai berkenaan.

Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa dilaporkan hilang selepas dibawa ombak ketika mandi di Pantai Cempaka, Sungai Soi, Kuantan jam 4 petang.

Mangsa bersama empat orang rakan dipercayai pergi ke pantai tersebut kira-kira jam 3.30 petang untuk bermandi. – Malaysiapost

Komen