Menang majoriti besar bukti akar umbi Umno tidak berpecah – Dr Akmal

Menang majoriti besar bukti akar umbi Umno tidak berpecah – Dr Akmal

Najamuddin Mohd Nor

MESKIPUN belum diumum secara rasmi, Dr Muhamad Akmal Saleh menzahirkan kesyukuran dan terima kasih kepada akar umbi dan perwakilan Umno yang telah memilih beliau sebagai Ketua Pemuda Umno. 

Pada pemilihan Umno 2023 yang berlangsung semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu jauh mendahului meninggalkan tiga pencabarnya yang lain dan telah pun melepasi majoriti mudah yang diperlukan. 

Dr Akmal berkata, berdasarkan jumlah undi yang diterimanya setakat ini, membuktikan kesepaduan Umno di peringkat akar umbi tidak berpecah dalam pemilihan parti itu kali ini. 

“Hari ini kita boleh tengok kesepaduan Pemuda Umno itu daripada undi yang diterima. 

“Kalau kita tengok kalau saya menang tipis itu mungkin kita rasa Pemuda berpecah, tapi dengan majoriti yang agak tinggi menunjukkan bahawa hari ini Umno mesti datang dari satu pasukan yang kuat, kita tak mahu ada lagi perpecahan di peringkat bawahan. 

“Sebab yang berpecah ini bukannya di peringkat bawahan sangat, yang berpecah ini kadang kala di peringkat atasan. 

“Jadi sudah tentu ini adalah tugasan utama saya untuk memberitahu tiada langsung kem PWTC atau pun kem mana-mana, hanya ada kem Umno Malaysia sahaja,” katanya kepada media ketika ditemui di ibu pejabat Umno, di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, malam tadi. 

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Dr Akmal memperolehi 103 undi, manakala 

Datuk Mohd Shahar Abdullah, yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, memperoleh 16 undian daripada Bahagian Umno. 

Ahli Dewan Negara, Datuk Armand Azha Abu Hanifah pula meperolehi enam undian daripada Bahagian dan seorang lagi calon Meor Hassan Mat Ali, belum mendapat sebarang undi.

“Terbuktilah apabila saya menang ni, saya ni adalah satu-satunya calon ‘underdog’, kalau dibandingkan dengan dua yang lain itu sangat tinggi nilainya, sangat berharga nilainya dari saya, tetapi akhirnya akar umbi telah memilih orang daripada akar umbi untuk diangkat menjadi pemimpin. 

“Sudah tentu kali ini suara akar umbi itu menjadi tunjangan utama untuk saya menerajui Pemuda Umno Malaysia,” katanya. 

Ditanya adakah beliau akan lantang menegur pucuk pimpinan setelah bergelar Ketua Pemuda, Exco Kerajaan Melaka itu berkata, beliau akan melakukannya namun mestilah menerusi kaedah dan menggunakan saluran yang betul. 

“Saya rasa ramai yang kenal saya ni siapa, sudah tentu apa yang betul kita ambil, apa yang salah tetap salah. Menegur kepimpinan mesti ada cara dan adabnya. 

“Ia tidak boleh menegur secara keluar, kalau boleh dalam kita berparti ini semua itu mestilah kalau nak menegur dalam meja rundingan. 

“Selepas itu sudah tentu yang paling penting kita nak bawa kesepakatan itu dalam parti, kita nak tunjuk kepada rakyat bahawa kita ini tidak berpecah,” katanya. – Malaysiapost

Komen