Muhyiddin cabar SPRM siasat sumber dana PKR, Umno
PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sumber dana politik yang diterima PKR dan Umno.
Beliau berkata, agensi penguat kuasa itu tidak seharusnya menumpukan punca dana Bersatu semata-mata kerana parti lain turut menerima dana politik daripada pihak tertentu.
“Saya nak cabar SPRM untuk siasat, siasat Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Dari manakah sumber (dana) yang mereka perolehi.
“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perdana Menteri juga daripada Umno, adakah Umno tidak menerima sumbangan politik. Begitu juga PKR di beberapa negeri.
“Adakah parti ini tidak menerima sumbangan dana politik daripada mana-mana ahli perniagaan,” katanya berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-5 Bersatu hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut bertanya kepada SPRM mengenai laporan dibuat ahli parti yang menggesa siasatan lanjut dijalankan
“Dah buat atau belum, atau yang disiasat hanya Bersatu sahaja.
“Yang didakwa hanyalah saya sebagai Presiden Bersatu. Parti dan Presiden parti lain dikecualikan daripada siasatan dan pendakwaan. Bukankah ini suatu bentuk pendakwaan politik yang terpilih?.
“Malah, semasa proses siasatan masih berjalan, banyak kali media arus perdana telah memetik sumber tidak bernama SPRM mengatakan saya akan ditahan dan didakwa.
“Seolahnya, mereka telah tahu bahawa saya akan didakwa walaupun siasatan belum selesai. Mungkin bagi mereka, ‘by hook or by crook, I must be charged.
“Apa maknanya ini? Adakah siasatan ke atas saya dilakukan secara bebas jika keputusan untuk mendakwa telah dibuat oleh pihak tertentu sebelum siasatan dilengkapkan?,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin mendakwa, beliau satu-satunya Presiden parti yang didakwa di mahkamah disebabkan partinya menerima dana politik.
“Saya telah berada di dalam politik selama 50 tahun. Parti politik tidak menjalankan perniagaan untuk menjana pendapatan bagi membiayai kegiatan parti termasuk pilihan raya.
“Oleh itu, sumber utama dana parti politik adalah sumbangan daripada para ahli dan penyokong parti, termasuklah ahli perniagaan, hartawan dan dermawan yang menyokong perjuangan parti,” katanya.
Beliau menegaskan, tanpa sumbangan dana, tentulah amat sukar bagi sebuah parti politik menjalankan fungsinya dalam sebuah negara demokrasi.
“Demi untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan parti, saya menetapkan supaya setiap sumbangan kepada Bersatu mesti dimasukkan terus ke dalam akaun bank parti, bukan ke akaun saya, atau melalui saya,” katanya. – Malaysiapost