Muhyiddin kekal Presiden Bersatu
MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebulat suara mengekalkan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti itu.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas MPT Bersatu semalam.
“MPT sebulat suara menolak peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu.
“Ini kerana MPT menegaskan bahawa pertuduhan ke atas Muhyiddin dibuat atas jawatan beliau sebagai Presiden Bersatu dan bukannya pertuduhan atas kapasiti peribadi,” katanya dalam kenyataan.
Hamzah turut meminta semua ahli dan penyokong bertenang dalam menghadapi ujian besar terhadap Presiden dan Bersatu dengan fitnah serta kezaliman.
Sebelum ini, Ahli MPT Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan bahawa parti itu mahu Muhyiddin kekal sebagai Presidennya.
Wan Saiful turut menjelaskan bahawa kedudukan Muhyiddin berbeza dengan jawatan yang dilepaskannya sebelum ini iaitu Ketua Penerangan parti selepas dituduh di mahkamah berhubung kes rasuah.
Jelasnya, jawatan ketua penerangan merupakan lantikan sebaliknya Presiden Bersatu itu dipilih dan ahli menuntut beliau untuk terus kekal.
Dalam pada itu, Hamzah turut mengucapkan tahniah kepada sayap baharu Srikandi Muda yang berjaya menganjurkan konvensyen pertama mereka.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perikatan Nasional itu, berdepan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM195 juta. – Malaysiapost