Noraini kekal Ketua Wanita Umno

Noraini kekal Ketua Wanita Umno

PENYANDANG Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengekalkan jawatannya itu selepas memenangi majoriti undi pada pemilihan sayap parti berkenaan, semalam.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi awal pagi ini, Noraini berjaya menggagalkan kemunculan semula pencabarnya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, dalam saingan sengit pemilihan sayap Umno itu.

Berdasarkan keputusan itu, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong itu memperoleh 106 undi daripada 189 bahagian yang terbabit dalam pemilihan di seluruh negara.

Saingan bagi kerusi Ketua Wanita Umno pada pemilihan kali ini, menyaksikan kedua-dua pemimpin terbabit saling kejar-mengejar dalam jumlah undi yang diterima mereka daripada peringkat bahagian.

Shahrizat, 70, yang bersara daripada politik selepas 11 tahun menerajui Wanita Umno pada 2018, memutuskan kembali ke gelanggang selepas mendakwa mendapat permintaan daripada kalangan pemimpin akar umbi.

Pada pemilihan Umno 2018, Noraini berjaya menewaskan dua pencabarnya, iaitu Datuk Azizah Mohd Dun dan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Dr Zaharah Sulaiman. – Malaysiapost

Komen