Remy Ishak bakal bergelar ayah
PELAKON Remy Ishak mengesahkan isterinya, Ezza Yusof kini hamil lima bulan sekali gus menamatkan teka-teki peminatnya.
Remy berkata, dia tidak berniat untuk merahsiakan kandungan isterinya kerana mahu memastikan kehamilannya berjalan lancar dan kuat.
“Kalau nak ikutkan hati, saya memang nak kongsikan berita gembira ini dari awal, tapi mengambil kira ini adalah kehamilan pertama jadi saya perlu pastikan kandungannya benar-benar kuat dan sihat.
“Doktor pun ada maklumkan supaya saya tidak berkongsi perkara ini terlebih dulu, tapi kini semuanya sudah terjawab apabila isteri sudah melepasi trimester pertama,” katanya lapor Harian Metro.
Menurut Remy, dia sukar untuk mengungkapkan perasaan sewaktu isterinya memaklumkan sedang berbadan dua.
“Saya bakal bergelar ayah tidak lama lagi. Satu perasaan yang diimpikan setiap lelaki yang sudah berkahwin.
“Semoga bayi yang bakal dilahirkan sihat dan dipermudahkan segala urusan. Terima kasih atas doa kalian yang selama ini terus menunggu memandangkan ‘baby bump’ pun tak boleh nak sorok lagi,” katanya
Terdahulu, khabar angin mengatakan yang Ezza sedang hamil bertiup kencang melihat penampilannya di media sosial.
Bagaimanapun, usahawan berkenaan meminta orang ramai bertanyakan sendiri kepada suaminya itu bagi mendapatkan penjelasan.
Remy berkahwin dengan Ezza pada 21 Ogos 2021. – Malaysiapost