Runtuhan cerun: Peruntukan RM800,000 baik pulih jalan Jerantut-Benta
Ben Ibrahim
SEJUMLAH RM800,000 diperuntukkan Kementerian Kerja Raya bagi kerja membaik pulih jalan Jerantut-Benta selepas laluan itu ditutup akibat runtuhan cerun, sejak 24 Januari lalu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihaknya sedang melakukan kajian mengenai insiden runtuhan cerun di laluan berkenaan.
“Kementerian sudah mengeluarkan peruntukan berjumlah RM800,000 untuk kerja baik pulih laluan berkenaan, cuma buat masa ini kita masih menunggu hasil kajian berkaitan kejadian itu.
“Mungkin ambil masa sikit dan selepas ia (kajian) selesai, bila-bila masa sahaja mereka (pihak konsesi) boleh memulakan kerja (membina semula) jalan di situ,” katanya ketika ditemui media, semalam.
Bagaimanapun, Abdul Rahman yakin kerja baik pulih laluan terbabit boleh disiapkan dalam tempoh empat bulan lagi.
“Peruntukan sudah ada dan dengan kos RM800,000 ini, saya percaya ia boleh selesai (siap) dalam tempoh antara tiga hingga empat bulan akan datang.
“Saya faham pengguna laluan itu dari Lipis terpaksa membuat pusingan di jalan Atong-Kerambit untuk ke Jerantut, memang jaraknya jauh sikit.
“Kita cuba percepatkan (menyiapkan) kerja baik pulih ini dan saya fikir tidak ada masalah untuk disiapkan lebih awal kerana (peruntukan) dah ada,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan jalan itu ditutup selama tiga bulan bermula hujung Januari lalu selepas berlaku runtuhan cerun dan mendapan tanah akibat hujan lebat. – Malaysiapost