Saya pun ada banyak ‘fail’ pemimpin kerajaan – Hamzah
SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu kerap mencari kesalahan pembangkang.
Hamzah berkata, sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, beliau juga boleh mencari kesalahan pemimpin kerajaan.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, beliau juga ada banyak ‘fail’ pemimpin kerajaan, namun menegaskan masih berfikir sama ada mahu menggunakannya atau tidak.
Beliau turut mengkritik tindakan kerajaan yang menafikan pendakwaan politik, namun menyasarkan Perikatan Nasional (PN) dengan tuduhan berkaitan dana politik.
“Sesiapa sahaja boleh menderma kepada sesebuah parti jika mereka yakin dengan perjuangan dan perjuangan parti.
“Jadi, jika anda (kerajaan) mengganggu kami, maka kami menganggapnya sebagai penganiayaan politik. Jangan hanya mencari kesalahan kami, saya juga boleh mencari kesalahan mereka dalam kerajaan.
“Saya adalah (bekas) Menteri Dalam Negeri dan saya juga mempunyai banyak fail, tetapi saya masih berfikir jika saya perlu menggunakannya,” katanya seperti dilapor The Star.
Namun Hamzah menegaskan, jika kerajaan terus mengganggu PN dan membuat mereka kecewa, tidak mustahil ‘fail-fail’ tersebut akan didedahkan.
Walapun tidak menyebut nama mana-mana pemimpin, kenyataan itu dipercayai ada kaitan dengan dakwaan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin baru-baru ini.
Jumaat lalu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.
Muhyiddin, 76, yang juga Pengerusi PN dan bekas Perdana Menteri mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi. – Malaysiapost