‘Saya sedia disiasat’ – Zahid
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bersedia untuk disiasat terhadap apa juga pertuduhan.
Ia susulan cabaran dilontarkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), supaya turut menyiasat punca dana politik diberikan kepada PKR dan Umno.
Namun, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, turut meminta Muhyiddin supaya menghadapi pertuduhan terhadapnya dengan hati yang terbuka.
“Saya sentiasa terbuka. Saya pernah disiasat dan pernah dibawa ke mahkamah. Saya besedia pada bila-bila masa.
“Tetapi janganlah tepuk air didulang. Muka kita terpercik. Jangan juga ludah ke langit, pasti ludah akan ke muka sendiri.
“Jadi hadapilah apa-apa yang patut dihadapi kerana saya pernah menghadapinya. Saya ucapkan selamat berjaya kepada beliau (Muhyiddin),” katanya memetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengenalan calon Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Peringkat Johor, di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di Johor Bahru hari ini.
Hadir sama, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Hari ini, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, mencabar SPRM supaya turut menyiasat punca dana politik diberikan kepada PKR dan Umno.
Beliau dilaporkan berkata, agensi penguat kuasa itu tidak seharusnya menumpukan punca dana Bersatu semata-mata kerana parti lain turut menerima dana politik daripada pihak tertentu.
“Saya nak cabar SPRM untuk siasat, siasat presiden PKR dan presiden Umno. Siasat di mana punca dana yang diterima oleh Umno dan PKR. Di manakah sumber (dana) yang mereka peroleh,” katanya.
Jumaat lalu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, atas enam pertuduhan, membabitkan empat kesalahan kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi. – Malaysiapost