‘Saya sukar tidur malam, isteri dan anak risau’ – Muhyiddin
BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui beliau sukar untuk tidur malam selepas berhadapan dengan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram di mahkamah, Jumaat lalu.
“Apabila saya membaca (berita) selepas pertuduhan, sukar untuk tidur malam. Isteri saya, di sebelah saya, sukar untuk tidur. Anak-anak saya risau… biasalah.
“Apabila saya baca, jika didapati bersalah atas pertuduhan ini saya akan dipenjarakan selama 20 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ceramah Perikatan Nasional (PN) di Taman Melewar, Batu Caves, malam tadi.
Sementara itu, Muhyiddin memaklumkan beliau perlu meminjam wang daripada pihak lain untuk membayar ikat jamin sebanyak RM2 juta yang ditetapkan mahkamah.
Pengerusi PN itu berkata, kutipan derma yang dijalankan parti itu masih tidak mencukupi untuk jumlah yang diperlukannya bagi membayar wang ikat jamin sehingga beliau terpaksa meminjam.
“Nasib baik mereka bagi pinjam wang itu, kalau tidak saya masih dalam penjara sampai sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin mengulangi kenyataannya bahawa beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih kerajaan.
Tegasnya, kerajaan berasa terancam dengan prestasi dan kejayaan PN memenangi 74 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Jumaat lalu, Muhyiddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.
Muhyiddin, 76, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya menerima rasuah dan dua pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi. – Malaysiapost