Selamatkan negara daripada ‘pesta’ kezaliman – Hadi

Selamatkan negara daripada ‘pesta’ kezaliman – Hadi

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengajak rakyat untuk mencegah dan menyelamatkan negara daripada kemungkaran dan kezaliman yang sedang berlaku, ketika ini.

Beliau berkata, ‘pesta’ kezaliman kini sedang berlaku, namun masih belum terlambat untuk rakyat melakukan perubahan.

“Kita sedang menyaksikan pesta kezaliman yang sedang berlaku. Kezaliman adalah satu kemungkaran yang besar. Menjadi kewajipan kita untuk mencegah dan menyelamatkan negara daripada kemungkaran.

“Sekiranya kita leka dan tidak bertindak, maka bencana akan menimpa semua tidak kira sama ada mereka yang zalim atau pun mereka yang baik yang mendiamkan diri,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana Solidariti Menentang Kezaliman anjuran Perikatan Nasional (PN), malam tadi.

Justeru, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN mengajak rakyat untuk mengundi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“InsyaAllah kita akan buktikan apa yang kita nak buat. Kita tak gopoh dan kita sedar Allah SWT tidak mensia-siakan orang yang dizalimi,” katanya.

Beliau memetik hadis Nabi SAW menyebut: ‘Akan berlaku tahun-tahun yang menggoda dan menipu manusia manakala, orang yang benar dianggap bohong serta pembohong dianggap benar’.

“Orang yang amanah dianggap pengkhianat. Pengkhianat dianggap amanah. Orang yang bebal mendabik dada bercakap perkara-perkara yang besar.

“Ini perkara yang berlaku dalam negara kita. Walaupun sudah berlaku masih ada jalan untuk kita membuat perubahan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, perbuatan menzalimi orang lain sangat dilarang dalam Islam kerana doa mereka tiada ‘dinding’ dengan Allah SWT.

“Ini bahayanya perbuatan menzalimi orang lain. Kita beri nasihat jangan bermudah-mudah untuk mengheret orang ke mahkamah macam mi segera sahaja. Sepatutnya mesti mengikut proses yang betul,” katanya. – Malaysiapost

Komen