Tiada parti mampu bergerak tanpa dana pihak lain – Muhyiddin
PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tiada mana-mana parti politik di negara ini yang mampu bergerak dan membiayai parti tanpa ada sokongan dana daripada pihak lain.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri, berkata penyataan tersebut dibuat berdasarkan pengalamannya yang sudah lebih 50 tahun dalam politik.
“Mereka (kerajaan) kata kita sahaja buat begitu. Saya sudah lama dalam politik, lebih 50 tahun. Kalau kata dana yang diperoleh itu dicari sendiri dengan berniaga, ok lah.
“Tapi, apabila kata parti mencari duit sendiri, saya yakin ia mendapat sokongan pemberian daripada pihak badan korporat, individu tertentu dan kemungkinan besar sumbangan dari luar negara.
“Jika berani, tunjuklah kerana ketika ini pertuduhan (yang dialami Muhyiddin) seolah-olah kita (Bersatu) sahaja yang lakukan. Kalau ada syarikat untung berbilion ringgit, tak apalah tetapi saya jamin ia tiada.
“Umno dulu ada syarikat, tetapi sekarang pun entah ke mana. Sebab itu, kalau mahu tahu kedudukan sebenar, siasat dan ia terserah kepada SPRM,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023, di Dewan Wawasan PGRM hari ini.
Jumaat lalu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.
Muhyiddin, 76, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi. – Malaysiapost
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menerusi ucapan dasarnya mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, bukan sahaja Bersatu, siasatan juga perlu dilakukan terhadap kedua-dua pemimpin itu serta sumber kewangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Umno. – Malaysiapost