Ustaz Azhar Idrus tak ada tauliah ceramah di Terengganu
PENCERAMAH bebas yang berasal dari Terengganu, Ustaz Azhar Idrus, disahkan tidak mempunyai tauliah untuk berceramah atau menyampaikan kuliah agama di negerinya sendiri.
Perkara itu disahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) hari ini.
Berdasarkan statistik pemegang tauliah dikeluarkan JHEAT, hanya 30 pendakwah selebriti yang diberi kebenaran pihak berkuasa negeri itu sehingga November lalu.
Bagaimanapun, Azhar tidak termasuk dalam senarai berkenaan.
Difahamkan, Azhar sudah dipanggil tiga kali oleh JHEAT untuk menjalani proses temuduga pemegang tauliah.
Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, secara keseluruhan seramai 1,313 individu mempunyai tauliah untuk berceramah, mengajar agama Islam dan mengajar al-Quran.
Katanya, jumlah itu termasuk pendakwah yang diberi tauliah khas mengajar agama sahaja dan mengajar agama Islam termasuk kitab, ceramah umum serta al-Quran.
“Kami akan mengeluarkan kebenaran khas kepada penganjur dan jawatankuasa masjid serta surau yang bercadang mengundang antara 30 pendakwah selebriti berkenaan,” katanya lapor Harian Metro.
Sebelum ini, media melaporkan satu kuliah Azhar dijadualkan di sebuah masjid di Shah Alam pada Februari lalu dibatalkan kerana tidak mempunyai tauliah.
Di Terengganu, semua ahli politik atau wakil rakyat dilarang memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di negeri itu.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dilaporkan berkata, larangan tersebut dibuat agar semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk tujuan politik kepartian.
Sementara itu M Rozi dilaporkan berkata, pihaknya meminta individu yang ingin mengajar dan mengadakan kuliah di masjid serta surau supaya membuat permohonan dengan JHEAT termasuk mengemuka maklumat peribadi dan kelulusan akademik.
“Kita amat mengalu-alukan individu yang berkelayakan membuat permohonan untuk mendapatkan tauliah,” katanya. – Malaysiapost