Batal atau Pemuda Umno turun halang ‘Jom Ziarah Gereja’
PEMUDA Umno tidak teragak-agak untuk turun padang Sabtu ini bagi menghalang program ‘Jom Ziarah Gereja’ sekiranya pihak berkuasa tidak melakukan sesuatu untuk mengarahkan penganjur membatalkannya.
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berkata, pihaknya mendesak agensi berkaitan agama Islam terutamanya di negeri Selangor mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menghalang program yang menyasarkan belia bukan bergama Kristian itu.
“Saya turut mendesak agensi berkaitan agama Islam dalam negeri Selangor mengambil tindakan sewajarnya dengan kuasa yang diberikan dalam undang-undang untuk menghalang program ini diteruskan jika pihak penganjur berdegil dalam perkara ini.
“Jika desakan ini tidak diendahkan,maka kami bukan sahaja tidak teragak-agak untuk turun dan menghalang sendiri program ini dijalankan malah kami akan mengambil tindakan menyaman pihak penganjur dan pihak agensi berkaitan Kerajaan kerana cuai dalam melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Akmal menegaskan, selaras dengan Artikel 11 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan, ia membenarkan negeri-negeri mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
Tegasnya, dalam erti kata lain adalah menjadi kesalahan jika orang bukan Islam menyebarkan fahaman kepercayaan mereka kepada orang Islam
“Seksyen-seksyen kesalahan jenayah dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 Selangor adalah terjemahan prinsip di atas dalam Negeri Selangor.
“Atas sebab ini saya mendesak sekeras-kerasnya agar pihak penganjur bagi program ini lebih peka dan sensitif terhadap isu ini serta mengambil tindakan wajar untuk halang orang Islam untuk terlibat dalam program ini,” katanya.
Tular di media sosial berkenaan promosi secara terbuka program ‘Jom Ziarah Gerja’ yang menyasarkan belia bukan Kristian ketika ini.
Program yang dijadual berlangsung pada 18 Mac di Church Of Our Lady Of Louders, Klang, mendedahkan belia terlibat bersama dengan matlamat untuk memberi pendedahan tentang persamaan dan perbezaan agama menerusi aktiviti lawatan dan kesukarelawan.
Dr Akmal yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau berkata, pengganut agama lain sepatutnya lebih peka dan menghormati sensitiviti penganut Islam yang merupakan agama rasmi Malaysia.
Jelasnya, rakyat Malaysia bebas mengamalkan kepercayaan agama masing-masing namun ada batasnya apabila melibatkan apatah lagi cuba mempengaruhi penganut Islam.
“Sebelum kita mahu minta orang lain menghormati kita, kita terlebih dahulu perlu menghormati dan peka terhadap perkara yang terlalu sensitif di hati rakyat malaysia.
“Malaysia ini agama rasminya adalah agama islam. Maka sudah pasti diperuntukan di dalam undang-undang untuk memelihara kesucian agama Islam dan kepercayaan penganutnya.
“Pada masa yang sama kebebasan penganut agama lain dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Tapi kebebasan ini ada hadnya.
“Prinsipnya adalah setiap penganut perlulah bertanggungjawab dan tidak mengguris penganut-penganut agama lain. Mohon tindakan segera diambil!” katanya. – Malaysiapost