Dalang subahat tuntutan Sulu boleh dihukum gantung – Azalina

Dalang subahat tuntutan Sulu boleh dihukum gantung – Azalina

INDIVIDU yang menjadi dalang terbabit dan bersubahat berhubung tuntutan waris kesultanan Sulu terhadap kedaulatan negara boleh dikenakan hukuman gantung jika terbukti bersalah. 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tindakan itu satu penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan sedang menyiasat penglibatan pihak dalam negara berhubung tuntutan berkenaan. 

Jelasnya, situasi pelik berlaku dalam proses pengendalian tuntutan Sulu itu. 

“Kita nak siasat siapa yang kemungkinan dalam negara terbabit, siapa bagi kekuatan  yang agak pelik. (Tuntutan) Tak sepatutnya berlaku…kalau nak tuntut sepatutnya 2013. Tapi tak tahu kalau ada permainan dalaman.

“Buat masa ini, kerajaan tidak boleh dedahkan strategi Malaysia bagi memastikan kemenangan berpihak kepada kita. Terdapat percanggahan input, maklumat, pandangan, kedudukan dalam mengendalikan isu tuntutan Sulu ini. 

“Terdapat pegawai kanan kerajaan telah buat keputusan tanpa kelulusan Kabinet dalam hal ehwal kepentingan dan kedaulatan Negara. Perkara sebegini wajar dibawa kepada pertimbangan jemaah menteri. Saya percaya prinsip tanggungjawab bersama dan tanggunjawab kabinet kepada Parlimen melalui perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu program wawancara bersama media.

Azalina dilantik menjadi wakil kerajaan ke Eropah termasuk Perancis bagi mengendalikan kes tuntutan kumpulan Sulu membabitkan beberapa aset milik Malaysia.

Mengulas mengenai ugutan waris kesultanan Sulu, Azalina berkata, ia adalah tindakan mereka untuk menuntut mendapatkan kembali bayaran.

Jelasnya, kerajaan tidak akan tunduk kepada permainan kumpulan berkenaan dan akan berusaha untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada dicabuli.

“(Tuntutan itu) dia bagi kita kelam kabut, bacaan saya dia nak kita bagi duit untuk bagi selesai (tuntutan). Tapi, kita nak lawan. Orang Sabah saja tahu tentang mereka. Saya sudah pergi Sabah jemput wakil kerajaan mereka, kita akan lawan.

“Dan saya tak akan benarkan sesiapa menggugat kedaulatan kita. Saya tak akan benarkan orang guna taktik Kotor untuk dapatkan duit,” katanya. – Malaysiapost

Komen