Hafidz Roshdi didakwa cederakan bekas isteri

Hafidz Roshdi didakwa cederakan bekas isteri

PELAKON, Hafidz Roshdi akan didakwa di Mahkamah Kuala Kubu Baru, Selangor hari ini atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, baru-baru ini.

Aktor berusia 29 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan Hafidz ditahan polis selepas dipercayai menumbuk bekas isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, bagi membantu siasatan kes itu.

Dia ditahan ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Bagaimanapun, katanya, pelakon itu dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.

Nurul Shuhada sebelum ini membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama bekas suaminya berada di dalam kereta di R&R di sekitar Sungai Buloh.

Nurul Shuhada turut memuat naik gambar kecederaan muka di media sosial sebelum keluarga mengesahkan wanita itu ditumbuk tiga kali oleh Hafidz selepas berlaku pertengkaran.

Pelakon terbabit berdepan kontroversi apabila kisah rumah tangga mereka menjadi perbualan hangat ekoran dakwaan curang.

Pelakon itu kemudian menceraikan isterinya dengan talak satu pada 23 Februari lalu. – Malaysiapost

Komen