Hafidz Roshdi mengaku tidak bersalah cederakan isteri

Hafidz Roshdi mengaku tidak bersalah cederakan isteri

PELAKON Hafidz Roshdi, 29, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya.

Terdahulu, Hafidz tiba di mahkamah dengan menaiki sebuah kenderaan pikap pada jam 8.32 pagi sebelum masuk ke kompleks mahkamah dengan diiringi lima individu dipercayai termasuk peguam mewakilinya, lapor Berita Harian.

Pada 2 Mac lalu, Hafidz ditahan polis selepas dipercayai menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, bagi membantu siasatan kes itu.

Dia ditahan ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Bagaimanapun, pelakon itu dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.

Nurul Shuhada sebelum ini membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama suaminya berada di dalam kereta di R&R di sekitar Sungai Buloh.

Nurul Shuhada turut memuat naik gambar kecederaan muka di media sosial sebelum keluarga mengesahkan wanita itu ditumbuk tiga kali oleh Hafidz selepas berlaku pertengkaran.

Pelakon terbabit berdepan kontroversi apabila kisah rumah tangga mereka menjadi perbualan hangat ekoran dakwaan curang.

Pelakon itu kemudian menceraikan isterinya dengan talak satu pada 23 Februari lalu. – Malaysiapost

Komen