Hubungan Arab Saudi-Iran pulih, tanda bermula penyatuan umat, dunia Islam

Hubungan Arab Saudi-Iran pulih, tanda bermula penyatuan umat, dunia Islam

PAS menyambut baik pemulihan hubungan antara Arab Saudi – Iran dan menganggapnya sebagai langkah awal ke arah penyatuan ummah secara menyeluruh ke atas umat dan dunia Islam.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia adalah tindakan yang amat baik dalam usaha untuk merapatkan kembali hubungan antara Arab Saudi – Iran.

Katanya, hubungan kedua-dua negara itu selama ini terjejas akibat campur tangan dan tipu daya pihak berkepentingan yang mengambil kesempatan untuk keuntungan mereka semata-mata.

“Pemulihan hubungan ini juga turut dijangka akan memainkan peranan penting dalam menstabilkan suhu geopoltik di Asia Barat.

“.. terutamanya penyelesaian konflik di Yaman, Syria, Lubnan dan Libya serta mampu menguatkan lagi perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan umat dan dunia Islam sewajarnya turut sama menyambut baik langkah tersebut dengan menjadikannya sebagai contoh dan tauladan untuk mengeratkan lagi hubungan.

“Ia bagi mengelakkan sengketa berpanjangan yang merugikan ummah secara keseluruhan.

“Justeru, PAS mendoakan agar pemulihan hubungan antara Arab Saudi – Iran akan terus berkekalan seterusnya menjadi titik tolak ke arah perpaduan dan penyatuan ummah ke atas seluruh umat dan dunia Islam,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Iran dan Arab Saudi bersetuju memulihkan semula hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dalam tempoh dua bulan akan datang selepas terputus selama tujuh tahun lalu.

Menerusi satu kenyataan trilateral, Iran dan Arab Saudi memaklumkan akan membuka semula kedutaan dan misi diplomatik dalam masa dua bulan serta melaksanakan perjanjian kerjasama keselamatan dan ekonomi yang dimeterai lebih 20 tahun lalu. – Malaysiapost

Komen