Jangan tangguh lagi keadilan buat Najib – Puad

Jangan tangguh lagi keadilan buat Najib – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendesak supaya keadilan untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak ditangguhkan lagi.

Menurutnya, laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sejak 21 hari lalu.

“Sudah masuk 21 hari selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said umum di Parlimen bahawa laporan siasatan SPRM telah diserahkan kepada Ketua Hakim.

“Apakah adil, keadilan untuk Najib tertangguh? Apakah adil tiada tindakan diambil sebelum keputusan semakan kehakiman dalam kes SRC International Najib diputuskan?.

“Rakyat ingin tahu jika benar siasatan terhadap Nazlan membuktikan memang wujud ‘konflik kepentingan’ dan ‘pelanggaran etika’ yang membolehkan Hakim Nazlan didakwa,” katanya menerusi Facebook.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu, Azalina memaklumkan, laporan SPRM terhadap Hakim Nazlan berkaitan pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009 telah diserahkan kepada Ketua Hakim.

Namun, beliau dilaporkan berkata tiada maklumat lanjut berhubung perkara itu dinyatakan oleh SPRM dalam surat berkenaan.

Mohd Puad turut menggesa hasil siasatan SPRM itu didedahkan kepada orang ramai.

“Tahniah Azalina kerana beritahu Parlimen laporan itu telah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara,” katanya.

Beliau berpandangan tulisan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang bertajuk ‘Mahkamah Persekutuan Membuat Undang-Undang Sendiri’ adalah amat tajam.

Jelasnya, tulisan itu menjadi hujah penting bahawa tiada sebab bagi SPRM tidak boleh menyiasat seorang hakim.

“Tetapi hari ini kita mendesak jangan tangguh keadilan untuk Najib,” katanya. – Malaysiapost

Komen