Kamal Adli cedera dipukul dengan cota di Singapura

Kamal Adli cedera dipukul dengan cota di Singapura

AKTOR popular, Kamal Adli cedera teruk di kepala selepas dipukul seorang lelaki yang tidak dikenali dengan menggunakan cota di Singapura, malam tadi.

Menurut isterinya yang juga pelakon Uqasha Senrose, insiden itu berlaku ketika kedua-dua mereka menghadiri suatu acara di kota raya itu.

Ekoran kecederaan yang dialami Kamal, Uqasha memaklumkan, suaminya dikejarkan ke hospital dan perlu ditidurkan sebelum dibedah.

Uqasha memberitahu, Kamal mengalami pendarahan teruk berpunca daripada lubang besar di bahagian kepalanya selepas dipukul bertubi-tubi menggunakan cota.

“Suami saya, Kamal Adli ditidurkan untuk pembedahan ‘major’. Koyak berlubang sangat dalam di kepala,” kongsi pelakon itu di Instagram miliknya.

Beliau turut memuat naik video beserta kapsyen yang menerangkan kejadian itu sehingga menyebabkan suaminya cedera parah di kepala.

Dalam tangisan, Uqasha menulis nota memohon doa orang ramai untuk suaminya yang terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

“Doakan suami saya kamal, kami baru habis event di Singapura tiba-tiba dia diserang orang Singapura dengan cota berkali-kali di kepala, muka, bawah mata dan badan.

“Sekarang Kamal di Hospital Singapura untuk pembedahan ‘major’ kerana lubang dan bocor koyak di belakang kepada, Allahu,” tulisnya dalam kapsyen video itu.

Menurut pelakon jelita itu, beliau tidak boleh bersama dengan suaminya dalam bilik pembedahan dan perlu membuat laporan polis di Singapura.

Sementara itu, pengacara Roslan Shah memaklumkan pihak berkuasa Singapura sudah menahan penjenayah terbabit. – Malaysiapost

Komen