‘Kamal sudah sedar, tapi masih mamai’ – Uqasha
“ALHAMDULILLAH, Kamal dah sedar dan masih mamai,” kata pelakon, Uqasha Senrose memaklumkan keadaan terkini suaminya, Kamal Adli, yang menjalani pembedahan hari ini.
Menerusi hantaran di InstaStory, Uqasha memberitahu, Kamal akan menjalani rawatan susulan selepas cedera parah diserang individu tidak dikenali dalam satu acara di Singapura, malam tadi.

“Harap semua doakan keselamatan kami dan juga keselamatan kalian, akhir zaman
“Yang lain Qasha dan Kamal serahkan pada polis untuk buat siasatan lanjut,” tulisnya dalam hantaran sama.
Terdahulu media melaporkan, Kamal cedera di kepala selepas dipukul seorang lelaki yang tidak dikenali dengan menggunakan cota di Singapura, malam tadi.
Menurut Uqasha, insiden itu berlaku ketika kedua-dua mereka menghadiri suatu acara di kota raya itu.
Ekoran kecederaan yang dialami Kamal, Uqasha memaklumkan, suaminya dikejarkan ke hospital dan perlu ditidurkan sebelum dibedah.
Uqasha memberitahu, Kamal mengalami pendarahan teruk berpunca daripada lubang besar di bahagian kepalanya selepas dipukul bertubi-tubi menggunakan cota. – Malaysiapost