KKD belum terima maklumat kes pukul Kamal Adli

KKD belum terima maklumat kes pukul Kamal Adli

KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) masih tidak memiliki maklumat khusus berkaitan kejadian menimpa pelakon popular, Kamal Adli yang diserang seorang lelaki di Singapura, malam tadi.

Justeru, Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat sebelum membuat sebarang kenyataan penuh mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, isu keselamatan artis tempatan adalah menjadi perkara penting bagi golongan penggiat seni itu.

Katanya, setakat ini pihaknya tidak memiliki maklumat khusus berkaitan kejadian menimpa pelakon itu.

“Memang isu keselamatan artis menjadi perkara penting bagi mereka. Namun kita akan mendapatkan maklumat dan teliti apa yang berlaku sebelum membuat sebarang kenyataan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menjalankan lawatan kerja di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Sungai Tiram, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Kamal cedera di kepala selepas dipukul seorang lelaki yang tidak dikenali dengan menggunakan cota di Singapura, malam tadi.

Menurut isterinya, Uqasha Senrose, insiden itu berlaku ketika kedua-dua mereka menghadiri suatu acara di kota raya itu.

Ekoran kecederaan yang dialami Kamal, Uqasha memaklumkan, suaminya dikejarkan ke hospital dan perlu ditidurkan sebelum dibedah.

Uqasha memberitahu, Kamal mengalami pendarahan teruk berpunca daripada lubang besar di bahagian kepalanya selepas dipukul bertubi-tubi menggunakan cota. – Malaysiapost

Komen