Kontroversi rumah tangga, Hafidz Roshdi hilang tawaran berlakon
PELAKON Hafidz Roshdi, 29, yang didakwa menumbuk isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, hilang pendapatan selepas beberapa syarikat produksi menarik balik tawaran berlakon kepadanya.
Perkara itu dimaklumkan peguam belanya, Datuk Akberdin Abdul Kader, ketika memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin di bawah RM5,000 dengan alasan anak guamnya perlu menanggung dua anak selain tiada tawaran berlakon.
“Beliau kehilangan pendapatan selepas beberapa produksi menarik balik tawaran berlakon susulan kontroversi dihadapi.
“Beliau juga mengidap gangguan bipolar, namun ia bukan masalah mental yang serius seperti skizofrenia,” katanya ketika berhujah di hadapan Hakim, Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret, lapor BH.
Akberdin memohon jumlah jaminan itu dikurangkan selepas Timbalan Pendakwa menawarkan ikat jamin RM10,000 dikenakan terhadap Hafidz dengan beberapa syarat tambahan.
Selepas mempertimbangkan rayuan tertuduh menerusi peguam belanya, mahkamah membenarkan Hafidz diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.
Penjamin perlu memastikan tertuduh menjalani rawatan dan penilaian psikiatri di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan selain tidak mengganggu mangsa secara terus atau melalui ejen dengan apa cara sekali pun.
Selain itu, pihak pendakwaan mensyaratkan pasport pelakon itu diserahkan kepada pihak mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan.
Terdahulu, Hafidz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas tuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini dua minggu lalu.
Berdasarkan pertuduhan, Hafidz didakwa menumbuk pipi kiri Nurul Shuhada sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak.
Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini pukul 3.22 pagi pada 2 Mac lalu.
Sementara itu, Hafidz ketika dibawa anggota polis untuk membayar wang ikat jamin hanya diam dan tidak memberi sebarang respons ketika dikerumuni petugas media yang cuba meminta komen berhubung pertuduhan dihadapinya.
Untuk rekod, Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umur, 2 tahun.
Hafidz melafazkan cerai terhadap Nurul Shuhada melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing pada 22 Februari lalu sebelum wanita itu memfailkan proses pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah pada 28 Februari lalu. – Malaysiapost